"Ahlan wa Sahlan,May Allah Always Bless You." | Dashboard | +Follow

Jumaat, 22 Mac 2013

Da'ie Oh Da'ie??

Assalamualaikum dan apa khabar semua? Hari ini admin ingin mengajak anda melihat satu salah faham kecil tetapi membawa impak yang besar.

Dakwah.....Ramai orang yang tersilap faham dan salah dalam mentafsirkan kalimah ini, sedangkan dakwah itu bermaksud menyeru manusia melakukan kebaikan. Ramai yang menganggap dakwah hanya milik ustaz dan ustazah. Dakwah mesti dalam bentuk ceramah. Dakwah hanya di masjid,surau dan madrasah. Dakwah bukan mudah dan selalunya amat susah. Jom kita rungkai dan selesaikan masalah ini.

Kesilapan Tentang Dakwah

1. Hanya Milik Ustaz dan Ustazah
Inilah kesilapan yang paling besar dilakukan oleh kebanyakan Muslim. Apabila disebut sahaja pendakwah, pasti terbayang seseorang yang berkopiah sedang menyampaikan kuliah ataupun seseorang yang bertudung labuh sedang berceramah.
Anda tidak perlu menunggu untuk menjadi seorang ustaz untuk berdakwah. Ini kerana kita semua adalah pendakwah, sepertimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat." Hadis ini langsung tidak mengkhususkan tugas dakwah kepada sesetengah golongan, malah ia meliputi setiap orang yang bergelar Muslim!!!
Walau sesiapa pun anda, tanggungjawab untuk berdakwah sentiasa berada di bahu. Doktor berdakwah, jurutera berdakwah, peguam berdakwah, makcik kantin berdakwah, pakcik pengawal berdakwah, jururawat berdakwah, pelajar berdakwah, guru pendidikan jasmani berdakwah dan ahli perniagaan berdakwah. Bayangkan jika setiap Muslim menggalas tugas ini dalam bidang masing-masing, nescaya Islam akan kembali dijulang menjadi gemilang!!.

2. Mesti dalam Bentuk Ceramah
Tidak adil jika dakwah hanya dilaksanakan dalam bentuk ceramah. Ini kerana tidak semua orang memiliki kepakaran berbicara dan berkebolehan memujuk yang berkesan. Malahan, jika disingkap sirah Rasulullah s.a.w., dakwah denag perbuatan dan akhlak yang mulia juga memberi yang cukup besar dalam menyebarkan Islam!!
Maka anda boleh berdakwah dengan memperlihatkan betapa sopan dan bersihnya seorang Muslim dengan meringankan senyuman dan berpenampilan kemas. Anda juga boleh menggunakan Internet untuk berdakwah. Saya juga sendiri kerap berkongsi kata-kata dan suntikan motivasi di halaman Facebook agar dapat menyentuh jiwa yang sedang mencari peringatan. Dan saya pasti, anda juga mampu memanfaatkan Youtube, Twitter dan Instagram dengan input yang menyedarkan insan dan mengajak ke arah kebaikan.

3. Hanya di Surau, Masjid dan Madrasah
Sekali lagi anda silap!! Dakwah sebenarnya tidak mengenal temapat dan waktu. Malah dakwah ledih diperlukan di tempat-tempat yang tidak berkaitan dengan ibadah khusus. Contohnya di pasar malam, kompleks membeli belah, restoran, panggung wayang, tempat letak kereta, taman dan pelbagai lokasi lain.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna merupakan seorang pendakwah contoh yang mengambil pendekatan dakwah yang berbeza pada zamannya apabila beliau memulakan dakwah di kedai-kedai kopi. Dengan kaedah ini jugalah gerakan Ikhwanul Muslimin di bawah pimpinan beliau mudah mendekati dan mengesani masyarakat Islam di Mesir pada waktu itu.
Anda juga boleh lakukan perkara yang sedemikian. Cuma biasalah, kalau seorang pasti anda kekok dan malu. Apa kata anda bersama-sama sahabat atau ahli halaqah merancang dan melaksanakan kaedah-kaedah dakwah yang segar ini untuk menyentuh hati yang patut disentuh dan mendidik mereka yang patut dididik.

Kesimpulan
Akhir sekali, mentaliti yang mengatakan dakwah itu kerja susah tidak tepat. Ia menjadi sesuatu yang susah apabila anda melihat ia sebagai kerja yang susah. Manakala ia bakal menyinar sebagai usaha yang mudah andai anda melihat ia sebagai aktiviti yang menyeronokkan."It's all about your mind!!".
Percayalah dakwah bukan sahaja mudah, malah ia juga bakat memudahkan perjalanan kita ke jannah. Syurga milik mereka yang berjuang di jalan Allah. Hidup bukan sekadar menjadi hamba Allah yang baik, malah membantu hamba-hamba Allah yang lain untuk menjadi manusia yang baik. Anda pasti puas dan teruja apabila melihat kerja dakwah anda membuahkan hasil. Kalau tidak di dunia pun, insyaALLAH di akhirat akan terpancar jua..

Jadi apa tunggu lagi, Jom Dakwah!!! 
"SENIkan DAKWAHmU"
[admin_THD]

Selasa, 5 Mac 2013

" 4M" Apa Istimewanya USRAH


Bismilah, Ucapkan alhamdulillah dan syukur kita dapat bertemu lagi dalam warkah yang tidak seberapa ini..

Pernahkah kita menyelesaikan  masalah dan berkongsi kegembiraan orang atau kesedihan bersama orang lain? Apabila kita terlupa, ada orang lain yang mengingatkan? Atau pernahkah ketika kita tersilap, ada orang lain yang menasihatkan?


Ibarat Satu Tubuh

Itulah situasi-situasi yang boleh kita peroleh melalui sistem proses sokongan hidup yang dinamakan USRAH.
Kenapa ia dipanggil sebagai sistem sokongan? Ini kerana usrah sebuah kumpulan kecil manusia yang bertemu secara berkala untuk memahami Islam, berkasih sayang dan saling membantu antara satu sama lain kerana Allah. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh tubuh yang lain turut berasa kesakitannya." [Muttafaq 'alaih]

Apabila sebelah tangan sakait, anggota lain sukar untuk melakukan aktiviti kehidupan seharian kerana harus mengambil berat tangan yang sakit tadi. Lain pula halnya jika seluruh tubuh badan sihat, sudah pasti tuan punya badan dapat menjalani kehidupan seharian dengan ceria sekali. Dalam grup usrah, kita belajar untuk membimbing dan dibimbing sesama ahli. Aktiviti yang dilakukan secara beramai-ramai sudah tentu lebih seronok bukan?

1. Memahami ISLAM

Setiap ahli dalam grup usrah diajar untuk memahami Islam sebagai cara hidup dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Ahli biasanya akan teruja dan menghargai apa-apa sahaja kefahaman Islam yang baru mereka peroleh.
Perlaksanaan aktiviti usrah dalam bentuk yang kreatif biasanya lebih menarik minat. Apabila proses ini berlaku, secara tidak langsung ahli usrah sebenarnya telah terpandu ke jalan yang betul. Ya, matlamat masih ada, tetapi jalan untuk menyampaikan mungkin berbeza. Kreatiflah untuk menyampaikan keindahan Islam!
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: 'Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku(Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya jalan-jalan(yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan(yang lain itu) menceraikan-beraikan kamu dari jalan Allah." [6:153]

2. Memotivasikan Diri

Usrah boleh diumpamakan seperti charger yang bertindak memberikan cas kepada handphone yang kekurang tenaga baterinya. Segala kekusutan dan kesusahan sebelum ini terasa dapat diuraikan dan dipermudahahkan. Bagaimana???
Ketika sesi usrah, setiap ahli dibuka ruangnya untuk berkongsi masalah, teguran, idea dan rahsia. Secara tidak langsung, suasana tolong-menolong antara satu sama lain dihidupkan. Lebih-lebih lagi, apabila ahli sekitar 4-5 orang sahaja. Fokus lebih kecil.
Jika masalah tidak dapat diselesaikan pun, sekurang-kurangnya perasaan lega dan tenang sedikit menguasai diri apabila dapat meluahkan kepada teman yang sudi menjadikan pendengar masalah.

3. Mendapat Kenalan Baru

Sayidina Umar Al-Khattab r.a. ada mengatakan: "Engkau mestilah mencari saudara yang jujur dan hiduplah dalam kalangan mereka kerana mereka itu perhiasan pada waktu senang dan bekalan pada waktu susah."
Berbeza dengan majlis ilmu yang lain, usrah berbeza konsepnya kerana ahli yang sedikit. Oleh sebab itu, kita berpeluang untuk mengenali rakan-rakan seusrah kita dengan lebih dekat. Sesi kenal-mengenal yang selalu disebut sebagai proses taaruf atau ice breaking boleh diadakan setiap kali sesi usrah untuk kita belajar mengenal dan memahami budi pekerti sahabat dalam kumpulan usrah.
Apa yang menarik, kita sudah mempunyai jalan untuk mendapat teduhan Arasy Allah di akhirat kelak menerusi sebuah persahabatan. Ini sebagaimana yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w., mafhumnya: "Dua orang lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya...."   [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Perkataan "lelaki" dalam konteks itu juga bermaksud perempuan. Jadi, orang perempuan jangan terasa hati ya!

4. Mencungkil Bakat

Istimewanya usrah kerana ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk mencungkil bakat seseorang.Unutk tujuan ini, kita boleh menjayakan usrah dengan mengadakan aktiviti secara individu atau berkumpulan.
Contoh aktiviti yang boleh dilakukan seperti menghasilkan karya puisi, memasak, membuat poster dakwah, mencipta video islamik, mengendalikan alatan teknikal seperti projektor LCD dan kamera, mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai lagi...
Betapa besarnya faedah yang akan diperolah melalui aktiviti ini kerana secara tidak langsung ia dapat memberi peluang kepada ahli usrah untuk mencuba sesuatu yang baru, sekali gus menguasai kemahiran-kemahiran yang tidak pernah mereka cuba sebelum ini.
Itulah antara rahsia keistimewaan usrah dan sebenarnya masih banyak lagi. Tiada cara lain untuk merasai keistimewaan berusrah melainkan kita sertai mana-mana usrah yang ada di kawasan kita sekarang!!

JOM SERTAI USRAH!!!
admin_THD