"Ahlan wa Sahlan,May Allah Always Bless You." | Dashboard | +Follow

Sabtu, 4 Mei 2013

"HAKIKAT KEBAHAGIAAN"

“Di manakah hendak dicari kebahagiaan hakiki?"


Seorang sahabat saya di MATRI pernah bertanya bagaimanakah dapat dia mencari kebahagiaan hakiki dalam mengharungi sisa baki kehidupan ini.Apakah itu sakinah dalam kehidupan?
Sebenarnya,saya sendiri takut untuk memberikan solusinya kerana ketenangan dan kebahagiaan jiwa yang sebenar tidak boleh sesiapa pun yang beri melainkan hanya Allah.Hanya insan yang hati dan jiwanya bersama dengan sang Pencipta sahaja yang dapat menikmatinya.Saya pun seperti yang bertanya,masih berusaha untuk mencari dan memperolehinya.

Siapa diantara kita menginginkan kebahagiaan dalam kehidupannya?Persoalan yang sudah pasti
jawapannya.Tentu sekali semua insan didunia ini menginginkannya bukan.

Berbicara tentang kebahagiaan,tentu sekali setiap insan didunia ini mengharapkan sesuatu yang dapat membuatkan mereka gembira dan mengecapi keseronokan didalam kehidupan yang mereka jalani.Dan tentu sekali kebahagiaan itu bukan sahaja untuk kehidupan didunia tetapi termasuk juga kehidupan di hari kemudian yakni hari akhirat yang mana detik dan saat manusia semua dikumpulkan.

Ramai orang yang tersalah sangka tentang maksud ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar dalam kehidupan ini.Betapa ramai yang menyangka bahawa harta,kekayaan,pangkat dan anak-anak yang mereka miliki merupakan faktor kebahagiaan yang selama ini telah mereka kecapi.Walaupun itu boleh menjadi penyumbang kepada kebahagiaan dan ketenangan,akan tetapi itu semua bukanlah segala-galanya.Bahkan boleh jadi itu semua lebih menjarakkan hubungan mereka dengan Allah Azzawajalla.Ramai orang yang memiliki rumah yang besar,tidur diatas katil yang empuk,tetapi mereka tidak berasa enak dan tidur mereka tidak terasa nyenyak.Bahkan ada orang yang hanya tinggal di pondok yang buruk,tidur beralaskan papan kayu yang menunggu ketika untuk reput,tetapi kadang-kadang mereka lebih selesa dan tidur mereka lebih lena berbanding kita.Ada orang yang berada dihadapannya makanan yang lazat,lauk-pauk yang bagus,tetapi lidah mereka tidak terasa enak.Bahkan ada insan yang disana,makanan mereka hanyalah sisa-sisa makanan ,tetapi kadang-kadang lidah mereka terasa lebih enak berbanding kita.

KATA HAMKA….”LIHATLAH BAGAIMANA ALLAH MEMBAHAGI-BAHAGIKAN NIKMAT KEPADA HAMBANYA”


Ramai yang menyangka jika mempunyai harta yang banyak,kekayaan yang melimpah-ruah tentu sekali mereka akan bahagia.Belum tentu!!!Kebahagiaan itu boleh menjadi milik sesiapa sahaja sekalipun dia merupakan manusia yang paling miskin didunia ini.Kerana kebahagiaan tidak memilih siapa yang ia ingin datangi.Dan perlu untuk manusia itu sedar bahawa kebahagiaan itu datang dari Allah dan ia juga akan dikembalikan kepada penciptanya yakni Allah.

‘JIKA ALLAH INGIN BERIKAN KEBAHAGIAAN KEPADA SESEORANG,NESCAYA IA TIDAK MAMPU DIHALANG OLEH APA-APA TANGAN SEKALIPUN’
‘JIKA ALLAH INGIN MENGHALANG KEBAHAGIAAN KEPADA SESEORANG,NESCAYA IA TIDAK MAMPU DIHULUR OLEH APA-TANGAN SEKALIPUN’


Kenapa disepanjang perjalanan kehidupan ini,kita rasakan seolah-olah kebahagiaan itu tidak pernah singgah menemani kita?Kadang-kala kita dapat rasakan bahawa kitalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini.Dan kerap kali kita mengadu kepada sang pencipta bilakah masa dan ketika akan DIA hadiahkan kepada kita kebahagiaan seperti mana dikecapi oleh manusia lain.Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran dan kita dapat rasakan seolah-olah kita tidak dapat keluar daripada semua permasalahan ini.Jasad dan roh kita merintih mengenangkan ujian yang menjengah kehidupan dikala ini.Pedih sungguh rasanya.
Tahukah kalian, betapa ramai manusia yang tewas apabila dugaan seperti kesempitan hidup melanda kebahagiaan yang mereka miliki selama ini.Walaupun kesempitan hidup yang menjengah kehidupan mereka itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan kebahagiaan yang telah Allah berikan kepada mereka selama ini.Begitulah manusia,,dikala mereka meniti jalan kebahagiaan,tuhan bagaikan tidak wujud bagi mereka dan tuhan mereka ketika itu merupakan harta,kekayaan,pangkat yang selama ini mereka sangka memberikan kebahagiaan dan ketenangan hidup.Betapa jauhnya hati insan itu pada tuhannya yang selama ini tanpa mereka sedari telah berikan mereka kehidupan,memberikan mereka rezeki tanpa diminta untuk membalasnya.Butanya mata hati insan yang selama ini tidak pernah menyedari bahawa Allah yang sedekad kehidupan ini senantiasa memberikan mereka kebahagiaan.Cuma insan yang tidak tahu menghargai pemberian Allah kepada mereka, jauh sekali ingin bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan buat hambaNYA.

Sahabat,bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana itulah merupakan kunci kebahagiaan dalam episod kehidupan ini.Cuba kita lihat apa yang telah Allah kurniakan pada tubuh badan kita saat ini.Bukankah kedua mata yang membolehkan kita melihat kebesaran ciptaan tuhan merupakan kebahagiaan dariNYA kepada kita?Lihatlah kedua belah kaki yang selama ini kita gunakan untuk berjalan merentasi dunia ini,bukankah ini juga nikmat kebahagiaan dari Allah kepada kita?Jika saya minta supaya kalian menukarkan nikmat satu jari yang telah Allah berikan kepada kalian dengan sejumlah wang bernilai jutaan ringgit,mahukah kalian menukarnya?Tentu sekali tidak mahu bukan.Lihatlah perbandingan diantara nikmat satu jari yang telah Allah kurniakan kepada kita dengan harta jutaan ringgit yang jelas kepada kita nilai matawang begitu kecil jika ingin dibandingkan dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita, walaupun ianya hanyalah satu jari sahaja.Justeru,mengapa hati kita masih lagi bersedih seakan-akan masih ada sesuatu yang masih tidak melengkapi kehidupan ini???

Duhai sahabat, jangan bersedih kerana kita miskin,tidak berharta kerana masih ada saudara kita disana yang mana mereka dililit hutang yang banyak.Jangan bersedih kerana kita tidak mempunyai banglo yang mewah kerana masih ada insan disana yang tiada tempat untuk menumpang teduh dan kadang-kala mereka mencari kotak dan cebisan kain-kain buruk untuk dijadikan alas sebagai tempat mereka melepaskan penat.Jangan bersedih jika kita mempunyai satu buah kereta sahaja kerana disana,ada insan yang tidak mempunyai kedua belah kaki untuk berjalan.Hati kita hancur disebabkan kehilangan seorang cahaya mata tetapi kita lupa saudara kita disana yang kehilangan kesemua anak-anak mereka dalam satu kecelakaan.Jangan kita bersedih jika pada saat ini kita beriman kepada Allah kerana di sana masih ramai yang kufur kepada Pencipta mereka.

” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki,bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

“KETAHUILAH DENGAN MENGINGATI ALLAH,HATI AKAN MENJADI TENANG” (Al-Ra’du 28)

Ketika kita mengecapi kebahagiaan,cuba hitung berapa banyak kita mengingati Allah berbanding dengan harta yang kita peroleh?Mungkin ada diantara kalian yang tidak melupakan Allah di saat itu tetapi adakah peratus kecintaan kita kepada Allah lebih tinggi berbanding kecintaan kita pada harta dunia itu?Tentu sekali tidak bukan.Malah ada manusia yang langsung tidak pernah mengingati siapa tuhan mereka di saat diri mereka masyhur didunia ini.Apakah kita tidak boleh mengambil ibrah daripada firman Allah diatas?Kita mencari ketenangan dan kebahagiaan untuk diri kita,keluarga dan kaum kerabat dengan mengumpulkan emas dan permata sehingga kita leka dan natijahnya,kita semakin jauh melupakan DIA yang sebenarnya telah memberikan kebahagiaan yang kita cari itu.Jangan sesekali kita lupa padaNYA kerana DIA tidak pernah meninggalkan kita walaupun seketika.


JIKA KITA DIUJI,JANGANLAH MUDAH UNTUK BERPUTUS ASA DAN UCAPKANLAH
“HasbunaAllahuwani’malwakil”
(CUKUPLAH ALLAH BAGI KAMI,DIALAH SEBAIK-BAIK TEMPAT DISERAHKAN URUSAN)

Cuba putarkan kembali kenangan kehidupan yang telah kita harungi selama ini….Adakah kesedihan yang kita lewati melebihi kebahagiaan??tentu sekali tidak bukan.Bahkan begitu banyak nikmat kebahagiaan yang telah kita kecapi cuma kita yang rasa ianya seolah-olah tidak pernah wujud kerana kita lupa untuk menghargai kehadirannya.Cuba kita ingat berapa banyakkah ujian yang diberikan Allah kepada kita selama ini?Ketika kita ditimpa musibah,kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya.Akan tetapi hari ini Allah masih memberikan kita kehidupan dan kita masih menikmati kurniaan kehidupan ini.Ketika kita ditimpa sesuatu masalah kita kata “ya Allah,bantulah aku ya Allah,aku susah ya Allah”,akan tetapi hari ini kita pun telah lupa akan apa yang telah kita katakan itu.Jelaslah kepada kita bahawa begitu sedikit ujian yang Allah timpakan kepada kita dan betapa banyaknya kebahagiaan yang diberikanNYA kepada kita sehingga kita lupa akan kesempitan hidup yang telah kita lewati selama ini.

-La tahzan innAllahama’ana-

-TERIMA KASIH ALLAH-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan