"Ahlan wa Sahlan,May Allah Always Bless You." | Dashboard | +Follow

Jumaat, 22 Mac 2013

Da'ie Oh Da'ie??

Assalamualaikum dan apa khabar semua? Hari ini admin ingin mengajak anda melihat satu salah faham kecil tetapi membawa impak yang besar.

Dakwah.....Ramai orang yang tersilap faham dan salah dalam mentafsirkan kalimah ini, sedangkan dakwah itu bermaksud menyeru manusia melakukan kebaikan. Ramai yang menganggap dakwah hanya milik ustaz dan ustazah. Dakwah mesti dalam bentuk ceramah. Dakwah hanya di masjid,surau dan madrasah. Dakwah bukan mudah dan selalunya amat susah. Jom kita rungkai dan selesaikan masalah ini.

Kesilapan Tentang Dakwah

1. Hanya Milik Ustaz dan Ustazah
Inilah kesilapan yang paling besar dilakukan oleh kebanyakan Muslim. Apabila disebut sahaja pendakwah, pasti terbayang seseorang yang berkopiah sedang menyampaikan kuliah ataupun seseorang yang bertudung labuh sedang berceramah.
Anda tidak perlu menunggu untuk menjadi seorang ustaz untuk berdakwah. Ini kerana kita semua adalah pendakwah, sepertimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat." Hadis ini langsung tidak mengkhususkan tugas dakwah kepada sesetengah golongan, malah ia meliputi setiap orang yang bergelar Muslim!!!
Walau sesiapa pun anda, tanggungjawab untuk berdakwah sentiasa berada di bahu. Doktor berdakwah, jurutera berdakwah, peguam berdakwah, makcik kantin berdakwah, pakcik pengawal berdakwah, jururawat berdakwah, pelajar berdakwah, guru pendidikan jasmani berdakwah dan ahli perniagaan berdakwah. Bayangkan jika setiap Muslim menggalas tugas ini dalam bidang masing-masing, nescaya Islam akan kembali dijulang menjadi gemilang!!.

2. Mesti dalam Bentuk Ceramah
Tidak adil jika dakwah hanya dilaksanakan dalam bentuk ceramah. Ini kerana tidak semua orang memiliki kepakaran berbicara dan berkebolehan memujuk yang berkesan. Malahan, jika disingkap sirah Rasulullah s.a.w., dakwah denag perbuatan dan akhlak yang mulia juga memberi yang cukup besar dalam menyebarkan Islam!!
Maka anda boleh berdakwah dengan memperlihatkan betapa sopan dan bersihnya seorang Muslim dengan meringankan senyuman dan berpenampilan kemas. Anda juga boleh menggunakan Internet untuk berdakwah. Saya juga sendiri kerap berkongsi kata-kata dan suntikan motivasi di halaman Facebook agar dapat menyentuh jiwa yang sedang mencari peringatan. Dan saya pasti, anda juga mampu memanfaatkan Youtube, Twitter dan Instagram dengan input yang menyedarkan insan dan mengajak ke arah kebaikan.

3. Hanya di Surau, Masjid dan Madrasah
Sekali lagi anda silap!! Dakwah sebenarnya tidak mengenal temapat dan waktu. Malah dakwah ledih diperlukan di tempat-tempat yang tidak berkaitan dengan ibadah khusus. Contohnya di pasar malam, kompleks membeli belah, restoran, panggung wayang, tempat letak kereta, taman dan pelbagai lokasi lain.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna merupakan seorang pendakwah contoh yang mengambil pendekatan dakwah yang berbeza pada zamannya apabila beliau memulakan dakwah di kedai-kedai kopi. Dengan kaedah ini jugalah gerakan Ikhwanul Muslimin di bawah pimpinan beliau mudah mendekati dan mengesani masyarakat Islam di Mesir pada waktu itu.
Anda juga boleh lakukan perkara yang sedemikian. Cuma biasalah, kalau seorang pasti anda kekok dan malu. Apa kata anda bersama-sama sahabat atau ahli halaqah merancang dan melaksanakan kaedah-kaedah dakwah yang segar ini untuk menyentuh hati yang patut disentuh dan mendidik mereka yang patut dididik.

Kesimpulan
Akhir sekali, mentaliti yang mengatakan dakwah itu kerja susah tidak tepat. Ia menjadi sesuatu yang susah apabila anda melihat ia sebagai kerja yang susah. Manakala ia bakal menyinar sebagai usaha yang mudah andai anda melihat ia sebagai aktiviti yang menyeronokkan."It's all about your mind!!".
Percayalah dakwah bukan sahaja mudah, malah ia juga bakat memudahkan perjalanan kita ke jannah. Syurga milik mereka yang berjuang di jalan Allah. Hidup bukan sekadar menjadi hamba Allah yang baik, malah membantu hamba-hamba Allah yang lain untuk menjadi manusia yang baik. Anda pasti puas dan teruja apabila melihat kerja dakwah anda membuahkan hasil. Kalau tidak di dunia pun, insyaALLAH di akhirat akan terpancar jua..

Jadi apa tunggu lagi, Jom Dakwah!!! 
"SENIkan DAKWAHmU"
[admin_THD]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan